Perak kekalkan rentak kemenangan

Iklan
Perak meneruskan rentak positif saingan Piala Tun Abdul Razak 2022. - FOTO: MALAYSIA HOCKEY FEDERATION

JUARA bertahan Perak, meneruskan persembahan bertenaga apabila meraih satu lagi kemenangan bergaya 4-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Kumpulan A Piala Tun Abdul Razak 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan Perak meneruskan rekod 100 peratus kemenangan dengan enam gol dijaringkan dalam dua perlawanan tanpa bolos.

Iklan
Iklan

Perak membuka tirai jaringan apabila Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti minit keempat, sebelum Muhamad Hafizal Halmi menggandakan jaringan pada minit ke-23.

Jaringan gol padang Mohamad Zulhamizan Awang Abas pada minit ke-29 dan ke-36 melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian S Jagatheesan.

Iklan

Terengganu yang sebelum itu membelasah Negeri Sembilan 8-0, terus menghimpit Perak apabila setelah mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 3-2, menyaksikan Fitri Saari meledak dua gol.

Fitri Saari membatalkan gol penyamaan ATM, Muhammad Alif Azhar Salim minit keempat dengan jaringan padang minit ke-24 disusuli gol kemenangan pada minit ke-58,

Iklan

Mohamad Akhimullah Anuar Esook terlebih dulu memberikan Terengganu pendahuluan dengan gol keduanya pada minit ke-29, yang disamakan Mohamad Sufian Marsom minit ke-54.

Sementara itu, Melaka naik ke tangga teratas Kumpulan B menerusi perbezaan gol selepas berpesta gol 5-0 ke atas Selangor.

Mohamad Faid Farhadh Mohd Shah meletakkan Melaka di depan minit keempat, kemudian digandakan Muhammad Amirul Aiman Ariffin (22’), sebelum Adam Aiman Mamat menambah dua lagi gol (32’) dan (40’) diikuti gol padang Dedy Ariyadi Junaidi pada minit ke-58.

Pahang pula dipaksa bekerja keras sebelum menjinakkan Pulau Pinang, 3-2 selepas bermula cemerlang dengan kemenangan 4-1 ke atas Perlis pada Khamis.

Eswaran George memberi pendahuluan kepada Pulau Pinang dengan jaringan padang pada minit ke-22, sebelum dua pukulan sudut penalti Muhammad Idris Samad minit ke-32 dan 35' dan jaringan padang Ismail Abu minit ke-39 meletakkan Pahang kukuh di depan, sebelum Pulau Pinang bangkit menerusi Jiwa Mohan (59’).

Perlis pula menghidupkan peluang selepas membelasah Singapura 6-0 hasil pukulan sudut penalti Muhammad Ariff Aiman Mohd Junid pada minit kelapan dan kesembilan.

Muhammad Amirul Azahar menambah gol ketiga Perlis pada minit ke-23, diikuti Muhammad Asyraf Azhar (29’), Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (40’) dan Muhammad Syahir Hasif Harun (52’).

Untuk rekod, aksi Kumpulan A pada Sabtu menyaksikan Kuala Lumpur menentang Johor sebelum ATM menentang Negeri Sembilan pada sebelah malam.

Kumpulan B, menyaksikan Melaka menentang Singapura, manakala Polis menentang Perlis diikuti Selangor menentang Pulau Pinang.

PIALA TUN ABDUL RAZAK 2022

KEPUTUSAN

KUMPULAN A:

Negeri Sembilan 0 - 4 Perak

ATM 2-3 Terengganu

KUMPULAN B:

Pulau Pinang 2-3 Pahang

Selangor 0-5 Melaka

Perlis 6-0 Singapura