PUTRAJAYA - Beberapa sungai utama di empat negeri yang mencatatkan peningkatan paras air selepas hujan lebat sejak semalam, kini dilaporkan berada pada paras selamat.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, status terkini itu adalah hasil pemantauan yang dijalankan anggota JBPM di kawasan terbabit semalam.
"(Hasil) pemantauan terhadap sungai-sungai terbabit mendapati paras air masih dalam keadaan memuaskan. Kenaikan paras air ini hanya untuk sementara.
"Bagaimanapun pemantauan termasuk melalui udara akan diteruskan oleh JBPM dan pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Hari Sukan Negara 2022 peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini pada Sabtu.
Semalam, media melaporkan paras air beberapa sungai utama di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Johor mencatatkan trend menaik akibat hujan lebat pada Jumaat.
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi laman sosial rasminya malam tadi turut memaklumkan paras air di Lembangan Sungai Buloh, Sublembangan Sungai Buloh dan Stesen Sungai Buloh di Paya Jaras berada di paras bahaya, serta menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dengan situasi tidak dapat dijangka.Mengenai tahap siap siaga JBPM dalam menghadapi banjir susulan fenomena Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku hujung tahun ini, Mohammad Hamdan berkata jabatan itu mempunyai kekuatan 12,500 anggota di 332 balai JBPM seluruh negara yang akan terlibat dalam operasi menyelamat.
"Anggota ini adalah mereka yang bertugas di balai untuk hadapi sebarang insiden kecemasan termasuk banjir yang akan dibantu kira-kira 14,000 bomba sukarela dan bomba komuniti,” katanya.
Beliau berkata sekiranya berlaku kekurangan anggota jabatan itu di kawasan bencana, anggota dari negeri lain akan diarahkan ke lokasi terbabit.
"Selain menggerakkan anggota, cuti juga akan dibekukan,” katanya. - Bernama.