SHAH ALAM - Langkah kerajaan meningkatkan kadar pengecualian duti setem bagi kediaman dalam lingkungan harga RM500,000 hingga RM1 juta pada Bajet 2023 dilihat sebagai tindakan proaktif untuk merangsang pemilikan rumah.
Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, ia berupaya menghasilkan penjimatan sehingga RM21,000 daripada RM14,500 untuk hartanah yang berharga melebihi RM500,000.
Menurutnya, sebagai pemaju perbandaran terkemuka antarabangsa, keputusan kerajaan itu amat dialu-alukan.
"Walaupun langkah yang dicadangkan untuk sektor hartanah adalah minimum pada tahun ini, kami amat menghargai tindakan untuk meningkatkan kadar pengecualian duti setem ini.
"LBS melihat perkara ini sebagai suatu langkah yang positif berikutan ia mampu merangsang pemilikan rumah dan bermanfaat untuk pembangunan dan pembinaan perumahan yang berada di gugusan harga tersebut, di mana LBS juga melancarkan projek-projek hartanah dan perumahan dalam lingkungan RM500,000.
"Secara keseluruhannya, kami menghargai inisiatif kerajaan untuk terus mendorong pemulihan ekonomi dan merangsang pertumbuhan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah Hock San, berikutan peningkatan inflasi, pengurangan kadar cukai pendapatan peribadi sebanyak dua mata peratusan bagi mereka yang berpendapatan antara RM50,001 hingga RM100,000 adalah bantuan yang dialu-alukan untuk rakyat.
Jelasnya, penjimatan cukai pendapatan tambahan membolehkan individu menyalurkan pendapatan mereka ke arah keperluan asas seperti pemilikan rumah dan seterusnya meringankan beban kewangan mereka.
"LBS turut memuji langkah kerajaan kerana menyediakan jaminan berjumlah RM3 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan.
"Ini secara positifnya bakal memberi faedah untuk mereka yang tergolong dalam isi rumah berpendapatan rendah kerana menggalakkan kesedaran bahawa adalah tidak mustahil untuk mereka memiliki kediaman idaman,” ujar beliau.
LBS juga katanya, berbesar hati melihat kadar penghunian yang amat menggalakkan di Hotel SCAPES miliknya sejak pembukaan semula ekonomi.
Sehubungan itu, insentif di bawah Bajet 2023 untuk industri pelancongan seperti yang dibentangkan termasuk insentif RM25 juta untuk pelancongan domestik dilihat tepat pada masanya.
Ia memandangkan rakyat boleh menikmati diskaun sehingga RM100 dalam baucar dan rebat untuk penginapan dan pakej pelancongan.
"Insentif ini dilihat akan terus membantu merangsang pemulihan industri pelancongan secara berterusan yang rata-ratanya terjejas berikutan pandemik,” katanya.