Bajet 2023: Perhilitan tingkat konservasi hidupan liar

Iklan
Abdul Kadir

SHAH ALAM - Jabatan Perhilitan akan mempertingkatkan program konservasi Harimau Malaya dan pelbagai spesies hidupan liar menerusi peruntukan dalam Bajet 2023 yang diumumkan pada Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya merakam penghargaan atas keprihatinan Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan berkenaan dalam program konservasi Harimau Malaya, gajah dan lain-lain spesies hidupan liar.

Iklan
Iklan

"Peruntukan sebanyak RM36 juta dalam program konservasi ini akan digunakan bagi memastikan ia ditingkatkan agar Harimau Malaya dan spesies hidupan liar lain tidak pupus yang termasuk program pengawalan habitat.

"Selain itu, peruntukan tersebut juga akan digunakan untuk mengurangkan konflik manusia dan hidupan liar serta kes-kes kemalangan yang melibatkan hidupan liar terutamanya bagi spesies gajah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Pihaknya turut menghargai peruntukan yang dipertingkatkan sebanyak RM39 juta untuk meneruskan Program Perlindungan dan Kawalan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme - BP3).

"Program ini melibatkan pelantikan Veteran ATM, Veteran PDRM, Orang Asli dan masyarakat setempat (VETOA) sebagai Renjer Komuniti serta Program Operasi Bersepadu Khazanah iaitu kerjasama bersama PDRM, JKDM, Jabatan Perhutanan, NGO dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Iklan

"Ia amat penting dalam memastikan tiada aktiviti pemburuan haram, pembalakan haram serta percerobohan dilakukan di kawasan perlindungan," katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus akan memastikan habitat Harimau Malaya dan hidupan liar lain terjaga.

"Adanya peruntukan ini, Jabatan Perhilitan dapat memastikan Kempen Selamatkan Harimau Malaya mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya.

Pada Jumaat, sebanyak RM36 juta diperuntukkan bagi program perlindungan harimau, gajah dan spesies liar lain.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 di Parlimen.