10,000 sukarelawan siap sedia bantu mangsa banjir

Iklan
Azwan (kiri) merasmikan Program Sukarelawan BriSK - Mural Kelestarian Alam Peringkat Kebangsaan yang bertemakan SEED4OURFUTURE di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu pada Sabtu.

KOTA BHARU - Seramai 10,000 sukarelawan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BriSK) bersedia membantu mangsa banjir sepanjang fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

Pengerusinya, Azwan Jaafar berkata, pihaknya telah mengambil langkah drastik dengan membuat persediaan untuk menghadapi banjir sebagaimana yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Iklan
Iklan

"Kita telah menggerakkan semua pengerusi BriSK di seluruh Malaysia untuk siap siaga bersama sukarelawan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

"Di samping itu kita juga telah bersedia dari segi sukarelawan yang mempunyai kemahiran dalam membaik pulih serta menyelenggara elektrik dan rumah mangsa banjir," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iklan

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Sukarelawan BriSK - Mural Kelestarian Alam Peringkat Kebangsaan yang bertemakan SEED4OURFUTURE di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Menurut beliau, secara dasarnya, persediaan tersebut telah dibuat di semua politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.

Iklan

Katanya, berlaku sahaja bencana, sukarelawan BriSK akan bergerak ke tempat musibah untuk menghulurkan bantuan.

Azwan berkata, kesemua sukarelawan sudah dipersiapkan dari segi mental dan fizikal serta mempunyai pengalaman menghadapi sebarang musibah.