New York isytihar darurat susulan peningkatan pencari suaka

Iklan
Eric Adams mengisytiharkan darurat susulan peningkatan kemasukan pencari suaka. - Foto AP

NEW YORK - Datuk Bandar New York, Eric Adams mengisytiharkan darurat pada Jumaat susulan peningkatan kemasukan pencari suaka yang kebanyakannya berasal dari selatan Amerika Syarikat.

Perintah eksekutif itu telah dikeluarkan pada Jumaat membolehkan arahan diberikan kepada semagensi berkaitan menyelaras respons terhadap krisis kemanusiaan pencari suaka dan mewujudkan pusat bantuan kemanusiaan sementara, lapor Xinhua.

Iklan
Iklan

Darurat akan dikuat kuasa selama 30 hari dan mungkin akan dilanjutkan.

Adams turut meminta bantuan daripada pihak persekutuan dan negeri untuk menangani kemasukan berterusan pencari suaka.

Iklan

Sistem perlindungan di New York kini beroperasi pada kapasiti hampir 100 peratus dan menampung lebih 61,000 orang manakala bandar itu akan dihuni lebih 100,000 pencari suaka tahun depan jika trend semasa berterusan.

"Angka itu jauh lebih tinggi berbanding kemampuan yang ada. Keadaan ini tidak mampan. Bandar ini akan hilang pembiayaan untuk keutamaan lain," katanya.

Iklan

Lebih 17,000 pencari suaka kebanyakannya dari Amerika Selatan telah tiba di New York sejak April.

Untuk menampung golongan berkenaan bandar itu telah menandatangani kontrak bersama 42 hotel untuk dijadikan sebagai pusat perlindungan manakala satu pusat respons dan pemindahan sedang dalam pembinaan di Pulau Randall.

Pihaknya sedang bekerjasama dengan pejabat gabenor New York untuk mengenal pasti lokasi tambahan bagi pembinaan pusat pemindahan dan sumber kakitangan.

New York dijangka membelanjakan sekurang-kurangnya AS$1 bilion menjelang akhir tahun fiskal ini bermula 1 Oktober bagi menangani krisis pendatang.

Kira-kira sebulan lalu Datuk Bandar Washington D.C. Muriel Bowser turut mengisytiharkan darurat berikutan kebanjiran pendatang yang tiba dari selatan Texas dan Arizona. - Bernama