Tular video suami isteri hisap gam depan anak

Iklan
Tangkap layar video dua individu sedang menghidu sesuatu dalam plastik ketika memandu. - Foto media sosial

MELAKA - Tindakan dua individu dipercayai pasangan suami isteri yang didakwa sedang menghidu gam ketika berada dalam kereta menarik perhatian ramai pihak yang turut bimbang kelakuan tersebut boleh mengundang bahaya terhadap keselamatan pengguna jalan raya lain.

Perbuatan tersebut tular dalam satu rakaman video berdurasi 18 saat di media sosial sejak Jumaat.

Video terbabit memaparkan seorang lelaki memandu kereta jenis Proton Iswara dilihat silih berganti menghidu sesuatu dalam plastik dengan seorang wanita yang berada di tempat duduk penumpang hadapan.

Iklan
Iklan

Menerusi video sama, individu yang merakam mendakwa terdapat seorang anak kecil berada di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

"Betul-betul tak ada akal, laki bini hisap gam, ada anak kecil lagi," dakwa perakam berkenaan.

Iklan

Kejadian itu dilaporkan berlaku di negeri ini, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen di ruangan komen antaranya tindakan tersebut boleh membahayakan nyawa bukan sahaja terhadap anak mereka, namun pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi Sinar Harian berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kes tersebut.

Iklan

"Bagaimanapun, kita memandang serius perkara ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran untuk kita jalankan siasatan lebih lanjut," katanya.