KUALA SELANGOR - Syarikat pengeluar produk sejuk beku, EB Frozen Food Sdn Bhd memperuntukkan sebanyak RM350 juta untuk membuka sebuah kilang pertama di Selangor yang bakal beroperasi di Bandar Puncak Alam di sini.
Pengerusi dan Pengasas Kumpulan Everbest, Ang Chin Hooi berkata, premis yang bakal dibina di Eco Business Park V (EBP V) di sini berkeluasan 8.09 hektar meliputi pusat pengeluaran makanan, gudang, pusat inovasi penyelidikan dan pembangunan (R&D), pejabat empat tingkat, tempat letak kereta lima tingkat dan asrama.
Menurutnya, pusat penghasilan makanan sejuk beku tersebut dijangka boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran sejumlah 120,000 tan setahun.
"Wabak Covid-19 melanda yang melanda negara meningkatkan toleransi pengguna terhadap makanan sejuk beku, yang juga memberikan kesediaan mereka untuk membuat pembelian.
"Kami percaya pengguna akan mempunyai keyakinan terhadap jenama kami dan mendorong warga kerja untuk cemerlang dalam industri," katanya semasa Majlis Pecah Tanah EB Frozen Food di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Chin Hooi berkata, pembukaan kilang tersebut dapat meningkatkan hasil pengeluaran produk berjumlah RM3.5 juta setahun untuk ketiga-tiga kilang mereka iaitu di Kedah dan Pulau Pinang.
Dalam masa sama, EB Frozen Food turut merancang untuk mengembangkan perniagaan mereka ke 50 buah negara dalam tempoh dua tahun ini.
"Setakat ini, ktia sudah mengembangkan perniagaan ke 25 buah negara.
"Jadi dalam tempoh dua tahun ini, kita menjangkakan akan menembusi pasaran ke 50 buah negara seperti negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, pembukaan kilang tersebut sebagai batu loncatan bagi memajukan kawasan Bandar Puncak Alam, di sini.
Katanya, sebanyak 2,000 peluang pekerjaan bakal dibuka khususnya buat penduduk Kuala Selangor apabila kilang tersebut siap dibina pada tahun 2024.
"Ia merupakan kawasan pembangunan paling pesat di Kuala Selangor dengan perumahan sebanyak 27,132 unit pegangan, 1, 614 unit perniagaan dan kawasan industri seluas 809 hektar.
"Ia turut dimajukan oleh beberapa syarikat pemaju, termasuk dengan pembinaan ECRL yang bakal mempunyai stesen sendiri di Bandar Puncak Alam dengan anggaran penumpang seramai 300,000 orang pada waktu puncak.
"MPKS berharap agar lebih banyak pelabur membuka kawasan perindustrian baharu di Kuala Selangor," katanya.
Hadir sama ke majlis pecah tanah tersebut ialah Pengarah Bahagian Teknologi Makanan dan Industri Berasaskan Sumber di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Manjit Kaur Balkar Singh, dan Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, Datuk Sri Dr Irmohizam Ibrahim.
Turut hadir wakil Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) oleh Pengurus Besar Divisyen, Ho Kwee Hong.