JOHOR BAHRU – Pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat, secara keseluruhannya dilihat telah mengambil kira apsek dan projek pembangunan yang diperlukan di negeri Johor.
Perkara itu ditegaskan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi laman Facebooknya pada Sabtu menegaskan kedua-dua elemen berkenaan sentiasa ditekankannnya sebelum ini dalam usaha menarik pelabur ke negeri ini.
"Seperti yang saya sentiasa tekankan, infrastruktur asas yang baik serta sistem pengangkutan yang efisien adalah penting untuk keselesaan rakyat dan ia juga turut menjadi menjadi prasyarat dalam usaha menarik minat pelabur ke Johor.
"Kerajaan negeri sedang berusaha untuk membentangkan bajet negeri yang prorakyat, pada bulan hadapan,” katanya pada laman Facebook berkenaan.
Pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat menyaksikan kerajaan Persekutuan telah bersetuju memberikan peruntukan untuk melebarkan Lebuh Raya Utara Selatan di Senai Utara – Pandan, Johor Bahru daripada empat lorong kepada enam lorong.
Selain itu, pembentangan Bajet 2023 turut menyaksikan pembinaan lorong memotong di Senai Desaru Expressway.
Sementara itu, Onn Hafiz berharap agar kesemua perancangan berkenaan dapat berjalan dengan lancar dalam usaha memberikan manfaat kepada rakyat negeri ini.
"Insya-ALLAH, semoga kesemua perancangan ini berjalan dengan lancar serta dapat memberikan perkhidmatan dan manfaat terbaik kepada rakyat Johor,” katanya.