KEPALA BATAS - Penggunaan media sosial secara bijak di samping pemantauan rapi ibu bapa dapat mengelak daripada berlakunya jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang, Zakaria Taib berkata, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutamanya melibatkan kesalahan perkongsian bahan pornografi dan capaian kepada bahan pornografi kanak-kanak.
Menurutnya, isu berkenaan perlu dipandang serius berikutan kesan buruk penggunaan gajet dan penyalahgunaan media sosial yang menyumbang kepada kes jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak.
"Malah kanak-kanak juga perlu diberi kefahaman berkenaan penggunaan media sosial secara bijak dan selamat serta pendedahan mengenai bahaya penggunaannya yang tidak terkawal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian kempen membanteras jenayah seksual dalam talian terhadap kanak-kanak peringkat negeri Pulau Pinang di Kepala Batas pada Sabtu.
Majlis itu disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Darus.
Zakaria berkata, program itu diadakan bertujuan memberi pendedahan serta pelindungan kepada kanak-kanak mengenai jenayah seksual dalam talian.
Sementara itu, Zakaria berkata, pihaknya merekodkan 135 kes penderaan kanak-kanak di Pulau Pinang dalam tempoh Januari hingga Ogos berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jelasnya, berdasarkan statistik 39 kes atau 28.9 peratus adalah mangsa penderaan fizikal selain 88 kes (65.2 peratus) penderaan seksual dan lapan kes (5.9 peratus) penderaan emosi.
Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan peningkatan kes adalah gangguan emosi ibu bapa yang mungkin berdepan dengan masalah kewangan selain hilang pekerjaan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid -19.