SHAH ALAM - Perincian pelaksanaan insentif kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan sederhana (M40) akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, antara pelaksanaan insentif tersebut yang bakal dijalankan adalah seperti kenaikan pinjaman dan penyediaan pinjaman komputer kepada mereka.
PTPTN juga memberitahu, mahasiswa yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama akan mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman.
"Permohonan telah dibuka bermula 15 September 2022 sehingga 31 Disember 2022 kepada peminjam yang bergraduat pada tahun 2019, 2020 dan 2021.
"PTPTN sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa komited dan bersedia untuk membantu peminjam selaras dengan inisiatif #PTPTNSediaBantu,” katanya pada Sabtu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Bajet 2023 pada Jumaat lalu menyatakan diskaun bayaran balik pinjaman tersebut dilaksanakan kepada para peminjam mulai 1 November 2022 hingga 30 April 2023.
Ia meliputi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual.
Pada masa yang sama, PTPTN turut menambah bahawa pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dilanjutkan sehingga 2024.