Kempadang Angler rangkul juara cabaran tenggiri

Iklan
Pasukan pemancing dari Kuantan, Kempadang Angler berpuas hati setelah meraih johan bagi kategori berkumpulan sempena Terengganu Tenggiri Challenge 2022 di Pantai Pulau Kekabu, Marang pada Sabtu.

MARANG - Pasukan pemancing dari Kuantan, Kempadang Angler merangkul juara setelah menjinakkan tujuh ekor tenggiri seberat 25 kilogram sempena Terengganu Tenggiri Challenge 2022 di Pantai Pulau Kekabu di sini, pada Sabtu.

Ketua pasukan, Sahfarin Salim, 39, berkata, dia tidak menyangka penyertaan sulung dalam cabaran menangkap ikan daripada spesies yang digemari itu membuahkan hasil.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya saya tidak menyangka walaupun kali pertama kami semua sertai pertandingan ini di Terengganu, kami tidak pulang dengan tangan kosong.

"Banyak cabaran-cabaran yang sukar terutama melibatkan jadual pertandingan, keadaan cuaca yang tidak menentu dan tempoh masa yang singkat namun syukurlah rezeki berpihak kepada kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan di sini, pada petang Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital, Ariffin Deraman; Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat dan Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Zuwislan Awang.

Program anjuran Jabatan Pelancongan Terengganu itu disertai kira-kira 200 penggiat sukan memancing termasuk dari luar Terengganu.

Iklan

Pada acara itu, sebanyak 36 pasukan disertai seramai 180 peserta berentap merebut kejuaraan bagi kategori berkumpulan dan individu.

Pengarah program, Taufik Samsuddin berkata, penganjuran program kali keempat selama dua hari bermula Jumaat itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan mereka yang meminati hobi itu.

"Acara ini bermula pada 2016 di Pulau Kapas, selepas itu kita sempat adakan sebanyak dua kali pada 2017 dan 2018 sebelum ia terhenti akibat pandemik Covid-19.

"Tak sangka penganjuran semula program ini pada tahun ini mendapat sambutan hangat. Dalam tempoh sehari sahaja penyertaan telah penuh diisi," katanya.

Taufik berkata, beliau menyambut baik hasrat kerajaan yang ingin menjadikan cabaran itu sebagai acara tahunan di Terengganu.

"Sebagai penggiat sukan memancing, program ini bukan sahaja memartabatkan sukan memancing malah turut memperkenalkan lokasi terbaik yang menjadi tarikan di Terengganu sekali gus membantu menjana ekonomi masyarakat setempat," ujarnya.