AMPANG - Suri rumah antara lapan individu diberkas dipercayai terlibat dalam kegiatan curi motosikal sekitar Ampang menerusi tangkapan yang dijalankan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek yang diberkas berumur antara 25 hingga 48 tahun.
Menurutnya, tangkapan dijalankan susulan laporan dibuat oleh seorang lelaki warga asing berumur 27 tahun mendakwa motosikal miliknya telah dicuri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 5 Oktober lalu.
"Mangsa yang bekerja sebagai pekerja pembersihan itu mengalami kemalangan kira-kira jam 1 pagi di susur keluar Plaza Tol Gombak menghala ke Ampang.
"Mangsa kemudian didatangi dua lelaki tempatan yang menawarkan untuk membantu menghantar mangsa dan motosikalnya pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun beliau berkata, mangsa menyedari motosikalnya tiada ketika tiba di rumah.
"Mangsa mendapati motosikal yang dibawa oleh salah seorang lelaki yang membantunya tiada.
"Mangsa bertanyakan kepada rakan individu yang membawa motosikalnya itu, namun tidak diendahkan lelaki tersebut yang kemudian terus beredar dan meninggalkan mangsa," katanya.
Menurutnya, siasatan dijalankan membawa kepada penangkapan lapan suspek terlibat dalam kejadian di sekitar Setapak dan Lembah Kelang.
"Siasatan mendapati lapan suspek terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita itu turut terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal dan menjual alat ganti motosikal yang dicuri.
"Ujian saringan dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah," katanya.
Ujar Mohamad Farouk, kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.