ALOR SETAR - Pembentangan Bajet 2023 yang dibentangkan pada Jumaat hanya atas kertas sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum belanjawan itu diluluskan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, jika Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, apa yang dibentangkan untuk rakyat itu tidak membawa apa-apa makna.
Menurutnya, apa yang dibentangkan hanya tinggal atas kertas dan tidak boleh dilaksanakan.
"Sepatutnya kita fokus sepenuhnya kepada belanjawan, namun akibat ketidaktentuan politik, apa yang dibentangkan itu belum pun diluluskan.
"Desas-desus pembubaran Parlimen cetuskan ketidaktentuan politik dan ia sesuatu yang tidak sihat. Ketidaktentuan ini menyebabkan pelbagai spekulasi berhubung hala tuju dan politik negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Kedah pada Sabtu.
Anthony berkata, spekulasi tersebut sudah berlarutan lama dan ia adalah punca berlakunya ketidaktentuan politik.
"Apa nak buat orang UMNO tak nak dengar. Mereka hanya mementingkan pertimbangan politik mereka bukan soal keselamatan rakyat, banjir atau kesejahteraan rakyat.
"UMNO berasakan sekarang adalah masa paling baik untuk adakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk mereka menang," katanya.
Menurutnya, kuasa untuk menentukan pembubaran tertakluk pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sama ada memperkenankan tarikh pembubaran atau sebaliknya, bukan bergantung kepada mana-mana parti politik.
Anthony turut menyifatkan PRU15 kali ini agak luar biasa dan berbeza sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak dibubarkan serentak dengan Parlimen.
"Kalau betul tiga negeri bawah pemerintahan Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu tak bubar DUN dan mengambil pendirian sama dengan Pakatan Harapan (PH), bermakna enam negeri tidak bubar.
"Melaka dan Johor sudah pun adakan pilihan raya negeri (PRN). Lapan daripada 11 negeri di Semenanjung tidak adakan pilihan raya serentak. Hanya tiga negeri, iaitu Perlis, Perak dan Pahang mungkin bubar," ujarnya.
Anthony tegaskan, ia sebenarnya tidak memberi kelebihan kepada mana-mana pihak kerana pertembungan peringkat Parlimen tetap diadakan.
"Kita hanya perlu ubah strategi dan fokus kepada Parlimen manakala peringkat DUN boleh bantu kempen dan teruskan kerja seperti biasa di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.
Menurutnya, DAP pasti akan menyertai gelanggang PRU15 dengan meletakkan calon di peringkat Parlimen sekiranya dibubarkan dalam masa terdekat.
"Kalau tidak bubar serentak, mana-mana pemimpin yang tidak terlibat dalam pilihan raya akan dikerahkan bantu calon di peringkat Parlimen.
"Saya akan arahkan semua ADUN mesti berusaha walaupun mereka tidak bertanding sebab kerusi Parlimen juga melibatkan beberapa kerusi DUN. Kawasan terlibat juga mempunyai pengundi yang sama," katanya lagi.