Rundingan kerusi PH di fasa akhir

Iklan
Anthony (empat dari kiri) bersama kepimpinan DAP Kedah dan PH Kedah yang hadir pada Konvensyen Tahunan DAP Kedah pada Sabtu.

ALOR SETAR - Rundingan agihan kerusi antara rakan gabungan Pakatan Harapan (PH) masih berjalan dan kini di peringkat fasa akhir sebelum ia dimuktamadkan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, rundingan kerusi akan dapat diselesaikan sebelum penamaan calon dan proses itu akan dipercepatkan sekiranya berlaku pembubaran Parlimen.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rundingan setakat ini diadakan di peringkat jawatankuasa perundingan dan sekiranya gagal diselesaikan, ia akan diserahkan kepada pimpinan tertinggi setiap parti untuk dimuktamadkan.

"Kebanyakan kerusi yang kita masih runding itu ialah kerusi yang ditandingi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya lepas," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Kedah di sini pada Sabtu.

Iklan

Anthony turut memaklumkan hasrat DAP Kedah yang mahu menawarkan diri bertanding kerusi Parlimen, yang mana pada PRU14 lalu DAP hanya diberikan dua kerusi DUN untuk ditandingi di Kedah.

"Perkara ini juga sedang kita rundingkan. DAP Kedah telah nyatakan hasrat mereka untuk bertanding di kerusi Parlimen dan ia masih dalam proses rundingan.

Iklan

"Saya yakin ada peluang DAP Kedah mewakili PH untuk bertanding di peringkat Parlimen. Ia akan mengambil sedikit masa lagi," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah kerusi Parlimen yang dituntut DAP belum boleh didedahkan selagi rundingan belum berakhir.

"Hasrat itu telah pun disampaikan kepada pimpinan pusat oleh Timbalan Pengerusi DAP Kedah.

"Sudah tentu kita mengambil kira hasrat daripada pimpinan negeri yang telah nyatakan persediaan untuk bertanding bagi kerusi tambahan, bukan sahaja di peringkat DUN malah Parlimen. Di peringkat pusat, kita akan berunding dengan rakan kita daripada parti-parti lain," ujarnya.

Anthony berkata, DAP hanya menuntut kerusi yang mana parti itu mempunyai kekuatan dan gerak kerja di kawasan tersebut.

"Bukannya kita minta suka-suka saja. Bukannya kita ambil kerusi itu tetapi kita tak pernah masuk pun kawasan tersebut. Itu tak munasabahlah," tegasnya lagi.