SUNGAI PETANI - PKR memberi bayangan 'menang mudah' bagi kerusi P15 Parlimen Sungai Petani pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memandangkan kawasan tersebut dikatakan kubu kuat parti berkenaan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerusi yang disandang selama tiga penggal berturut-turut sejak PRU12 itu diyakini mampu dipertahankan melihat kepada sokongan kuat rakyat yang tidak berbelah bagi sejak 2008.
Beliau dalam masa sama turut menjelaskan bahawa yakin sokongan kepada PKR akan tetap utuh di Parlimen berkenaan.
"Sungai Petani ni kubu kita, kubu PKR dan PH, saya nak minta tolong sekurang-kurangnya kita boleh percaya... Sungai Petani saya tak risau sangat.
"PRU kali ini, kita tetap pegang!" katanya ketika hadir ke Santai Petang dan Ceramah Umum di Taman Desa Meranti, Padang Temusu di sini pada Sabtu.
Beliau dalam masa sama memohon pengundi di Parlimen tersebut agar terus memberikan sokongan kepada PKR bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) membawa perubahan dalam kepimpinan negara.
Difahamkan, Anwar kini sedang giat melakukan siri jelajah ke seluruh negara bagi menemui penyokong sebagai persediaan menghadapi PRU15 yang dijangka diumumkan tidak lama lagi.
Berdasarkan rekod, kerusi P15 disandang Datuk Johari Abdul yang menang pada PRU14 lalu dengan majoriti 21,569 undi mengalahkan tiga calon lain.
Johari yang mewakili PKR berjaya mengekalkan kedudukannya selepas merampas kerusi tersebut daripada BN pada PRU12 dengan majoriti undi 9,381.
Pada PRU13, beliau berjaya mempertahankan kerusi tersebut dan menang dengan majoriti lebih tinggi berbanding sebelumnya dengan 9,548 undi.