ATAS kertas, skuad bola sepak Bawah 16 (B-16) tahun negara dilihat berpeluang cerah untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 apabila memerlukan keputusan seri menentang Indonesia dalam aksi kelayakan terakhir Kumpulan B pada Ahad.
Ini kerana jika skuad Harimau Muda berjaya memperoleh satu mata daripada perlawanan tersebut, mereka mungkin akan berada dalam kelompok lima pasukan terbaik selaku naib juara, sekali gus mengesahkan slot Piala Asia B-17 tahun depan.
Namun, pengendali skuad B-16 negara, Osmera Omaro tidak mahu anak-anak buahnya sekadar memburu satu mata apabila berdepan Indonesia, sebaliknya mencipta kemenangan untuk bergelar juara Kumpulan B.
"Kalau ikutkan keputusan ketika ini, kami hanya perlu seri menentang Indonesia untuk mara ke pusingan akhir selaku pasukan yang dalam kelompok lima terbaik di kedudukan kedua.
"Namun, kalau boleh saya tidak mahu pasukan hanya memperoleh keputusan seri. Saya mahu mereka menang perlawanan tersebut kerana kalau dapat tiga mata, kami akan layak secara automatik sebagai juara kumpulan.
"Jadi saya harap kami boleh menang perlawanan menentang Indonesia nanti dan bagi aksi yang terbaik pada perlawanan terakhir kumpulan esok (Ahad),” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Skuad negara menyalakan kembali harapan untuk beraksi di pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 selepas mengejutkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 3-2 di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia pada Jumaat.
Sebelum itu, kem Malaysia tersentak seketika apabila terikat 1-1 dengan pasukan kerdil, Guam selepas mereka melakar kemenangan besar 4-0 ke atas Palestin dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia menduduki tangga kedua dengan merekodkan tujuh mata - ketinggalan dua mata di belakang Indonesia yang mengungguli carta Kumpulan B.
Mengulas misi penting berdepan Indonesia, Osmera mengakui pasukan jiran tetangga itu memiliki kelebihan berbanding anak-anak buahnya kerana beraksi di laman sendiri.
Bagaimanapun, Osmera percaya sekiranya aksi yang sama ditampilkan ketika Malaysia meraih kemenangan ke atas UAE diperagakan ketika menentang Indonesia, beliau yakin pasukan tuan rumah itu mampu untuk dijinakkan.
"Saya boleh cakap aksi menentang UAE, pemain-pemain bermain dengan sangat cemerlang. Malah, pada perlawanan semalam (Jumaat) mereka sebenarnya mampu untuk menang dengan jaringan lebih besar.
"Jadi sekiranya aksi yang sama dapat ditampilkan oleh pasukan negara ketika menentang Indonesia nanti, saya rasa tidak mustahil kita boleh tewaskan Indonesia,” jelasnya.