ALOR SETAR – Tindakan penggantungan keahlian UMNO selama enam tahun ke atas Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail ditangguhkan buat masa ini.
Mohd Yusof mengesahkan penggantungan keahlian parti terhadapnya yang diumumkan pada 30 September lalu ditangguhkan sehingga Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan datang.
Ujar beliau, Lembaga Displin UMNO memberi penangguhan berkenaan selepas rayuan dibuat olehnya.
"Keputusan menggantung dan memecat (keahlian) ini adalah kuasa MKT. Kita buat rayuan dan UMNO Bahagian juga buat rayuan kepada UMNO Malaysia.
"Selepas dibincangkan oleh Lembaga Displin (UMNO), keputusan menangguhkan penggantungan itu dibuat untuk saya kembali aktif sebagai Ketua (UMNO) Bahagian dan keputusan penuh akan dibuat dalam Mesyuarat MKT UMNO akan datang,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar di Bangunan Tunku UMNO Kedah di sini pada malam Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Masri.
"Saya tidak pastilah, mungkin (dalam tempoh) sebulan lagilah. Kebiasaannya, dia (mesyuarat) sebulan sekali. Jadi, saya boleh merasmikan (mesyuarat perwakilan) wanita dan pemuda,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Mohd Yusof, beliau tidak mengetahui sebab sebenar penggantungan keahlian dirinya selama enam tahun memandangkan tidak pernah dipanggil Lembaga Displin UMNO dan dinyatakan kesalahan pada parti.
"Namun, saya beranggapanlah (ia) mungkin (sebab) tulisan-tulisan di dalam kumpulan WhatsApp Ketua Bahagian yang menjadi kesalahan tanpa disedari dan maka (kena) ambil tindakanlah.
"Jikalau kata buat sidang media di luar, saya pun tak pernah tak pernah buat dan saya tak pernah pun menentang UMNO daripada luar tetapi kita menyokong,” katanya.
Mohd Yusof mendakwa menjadikan hukuman dikenakan terhadap dirinya sebagai pengajaran dan iktibar pada masa akan datang.
Dalam perkembangan sama, beliau menyuarakan kebimbangan gerak kerja UMNO Bahagian Alor Setar akan terganggu sekiranya digantung terus keahlian UMNO tersebut.
"Jikalau saya digantung terus, saya bimbanglah sebab kita sudah empat tahun bersama rakyat dan pengundi.
"Macam-macam program kita sudah buat,” katanya.
Tambah beliau, program dilaksanakan UMNO Bahagian Alor Setar dibantu sayap-sayap sentiasa hebat sepanjang empat tahun beliau memegang jawatan tersebut.
Beliau berkata, amat menitikberatkan aspek kebajikan dan bantuan kepada penduduk setempat.
"Apabila saya kena gantung maka suara-suara sumbang itu agak kuatlah tetapi Alhamdulillah perkara ini diselesaikan. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga membantu,” katanya.
Sebelum ini, keahlian parti Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilapor digantung selama enam tahun.
Keputusan itu ditetapkan dalam Mesyuarat MKT UMNO yang diadakan di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur pada Jumaat minggu lepas.