[VIDEO] PRU15: Anwar tanding Tambun diketahui 29 Oktober ini

Iklan
Anwar Ibrahim

PARIT BUNTAR - Keputusan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun atau tidak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diumum 29 Oktober ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pengesahan tersebut akan dibuat oleh Presiden PKR itu sendiri sempena Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC).

Mujahid ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam majlis sama, turut diumumkan pengagihan kerusi melibatkan semua parti kompenan PH kini dianggotai PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi seluruh negara.

"Belum ada lagi apa-apa (keputusan bertanding di Tambun). Itu akan diputuskan nanti pada 29 Oktober kerana salah satu acaranya adalah umumkan pengagihan kerusi.

Iklan

"Mengenai persoalan itu, akan terjawab di sana nanti, apa-apa tunggu," katanya ketika ditemui pemberita sempena Himpunan Harapan Perak Bangkit di tapak Pasar Malam Tanjung Piandang di sini pada Sabtu.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, keberadaan Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang itu bertanding di Perak akan memberi penghormatan kepada PH negeri.

Iklan

"Saya yakin ketokohan dan pencalonan Anwar mampu memberi nilai tambah kepada PH di Perak," katanya.

Pada Ogos lalu, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 yang kini disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sementara itu, Mujahid berkata, selepas Himpunan Harapan Perak Bangkit, PH akan mengatur beberapa siri seterusnya termasuk Jelajah PH yang melibatkan Parlimen Tambun, Tapah, Parit Buntar dan Lumut pada hujung Oktober ini.

Anwar menyampaikan ceramah sempena Himpunan Harapan Perak Bangkit di tapak Pasar Malam Tanjung Piandang pada Sabtu.

Katanya, langkah itu sebagai momentum PH dalam menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

"Walaupun kita kata tidak mahu pilihan raya, tetapi tidak ada halangan untuk buat persiapan, memanaskan rakyat supaya mereka bersiap sedia dengan isu-isu kita bawa untuk mereka buat pertimbangan," katanya.

Selain Anwar, himpunan berkenaan turut dihadiri Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi, Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dan Pengerusi PKR, Chang Lih Kang.