SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan para mufti dan agamawan menghindari perbalahan agama di ruang awam.
Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, titah baginda tepat pada masanya dan perlu diamalkan umat Islam serta rakyat bukan hanya di Selangor tetapi di Malaysia.
Menurutnya, nasihat baginda amat wajar menjadi perhatian dalam kalangan agamawan kerana ketika sesi muzakarah dan perbincangan, banyak isu teknikal yang tidak difahami oleh masyarakat.
"Oleh itu, mendedahkannya secara terbuka tidak membawa keuntungan kepada masyarakat awam selain lebih menambahkan kekeliruan.
"Agamawan dan ilmuan perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berkaitan hukum hakam dan lebih mengutamakan kemaslahatan umum berbanding pendangan peribadi," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menerusi Mesyuarat Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) kali ke-121 pada 6 Oktober lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan mufti dan agamawan sentiasa menghindarkan diri daripada perbalahan agama di ruang awam terutamanya jika isu berbangkit yang telah diputuskan bersama dalam ruang muzakarah.
Baginda juga menasihatkan agar perbalahan yang terjadi diantara mufti dan agamawan tidak seharusnya menjadi tontonan awam kerana ia hanya akan merendahkan kewibawaan ulama itu sendiri.
Sewajarnya, perbezaan pendapat ulama hanya dibincangkan di dalam muzakarah dam tidak dibawa keluar dari gelanggang muzakarah.