KUALA LUMPUR - Rapid Rail dan kontraktor bagi pembinaan projek transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya akan menjalankan sesi ujian migrasi sebagai persediaan untuk pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Amir Hamdan berkata, sesi ujian tersebut akan bermula 10 Oktober hingga Disember depan.
Menurutnya, jajaran terlibat akan bermula dari Stesen MRT Putrajaya Sentral hingga Stesen MRT Kwasa Damansara.
"Kami akan memantau rapi sesi ujian yang dijalankan oleh kontraktor bagi memastikan semua langkah dan prosedur dipatuhi," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang kekal seperti biasa ketika ujian dijalankan.
"Rapid Rail akan memaklumkan kepada pengguna sekiranya ujian ini dapat diselesaikan lebih awal daripada jadual.
"Sesi ujian ini adalah salah satu pra syarat yang ditetapkan pihak berkuasa selain untuk mengukur dan menguji keberkesanan sistem menjelang pengoperasian penuh MRT Laluan Putrajaya,” katanya.
Tambahnya, notis akan dipasang pada pintu tren dan stesen terlibat terlibat untuk perhatian pengguna bagi mengelak kekeliruan penumpang.
Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03- 78852585.