PEMAIN sensasi, Erling Haaland meledak rekod jaringan kepada 10 perlawanan berturut-turut ketika membantu Manchester City menewaskan Southampton 4-0, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Sabtu.
Joao Cancelo, Phil Foden dan Riyad Mahrez turut mencipta nama selaku penjaring buat skuad kendalian Pep Guardiola sebelum Haaland melengkapkan kemenangan buat juara bertahan itu di Stadium Etihad.
Haaland sudah meledak 20 gol dalam 12 aksi kompetitif sejak perpindahan dari Borussia Dortmund.
"Saya kecewa dengannya! Dia tidak menjaringkan tiga gol. Jangkaan ke atasnya terlalu tinggi sehingga orang mengharapkan dia meledak tiga atau empat gol pada setiap perlawanan.
"Dia akhirnya menjaringkan gol. Dia membantu kami sekali lagi,” ujar Guardiola merujuk kepada Haaland.
Ledakan berbisa penyerang Norway itu, The Citizens kini menjadi kelab pertama menjaringkan sekurang-kurangnya tiga gol dalam sembilan perlawanan berturut-turut untuk aksi liga tertinggi di laman sendiri sejak Wolves melakukannya pada tahun 1959.
The Citizens dalam misi memburu kejuaraan kelima EPL dalam tempoh enam musim selepas hanya tewas sekali daripada 37 aksi liga.
Mereka meledak 24 gol dalam enam perlawanan terdahulu, memenangi lapan daripada sembilan aksi terakhir dalam semua pertandingan.
Bagi Southampton pula, kekalahan kelima berturut-turut menambah tekanan ke atas pengendalinya, Ralph Hasenhuttl.
The Citizens membuka tirai jaringan pada minit ke-20 menerusi Cancelo, diikuti ledakan Foden 12 minit kemudian.
Mahrez menyumbat gol ketiga empat minit selepas rehat sebelum Haaland melengkapkan kemenangan pada minit ke-65.