Individu dakwa keturunan nabi hanya mahukan nama: Mufti NS

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Yusof

SEREMBAN - Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menyifatkan tindakan individu yang mendakwa dari keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW hanya mahukan nama.

Malah tegas Mohd Yusof, sebagai umat Islam sepatutnya tidak mudah percaya dan terpengaruh dengan dakwaan seperti itu.

Iklan
Iklan

"Kita yang mendengar cerita-cerita macam ini sebenarnya abaikan sahajalah, apa-apa dakwaan mengatakan dirinya keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Maka tak perlulah kita terpengaruh sekali gus beri peluang kepada orang-orang ini sebab mereka hanya nak mencari nama, itu sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Jelas beliau lagi, dalam kehidupan beragama Islam, siapa sahaja yang menyampaikan agama iaitu pegangan dan fahamannya betul, itu yang perlu diikuti.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai pembatalan satu program yang menampilkan lelaki yang mendakwa sebagai keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam satu majlis maulid di beberapa buah negeri.

Iklan

Antara negeri yang telah membatalkan majlis tersebut ialah Kedah, Terengganu, Melaka dan Kelantan.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang permohonan berkaitan program melibatkan lelaki yang mendakwa sebagai keturunan junjungan besar Nabi Muhammad SAW di negeri ini.

"Setakat ini tak ada lagi yang membuat permohonan, kalau ada pun kita tak benarkanlah malah maklumat itu ada dalam pengetahuan pihak Jabatan Mufti Negeri Sembilan," katanya.