BENTONG - Seorang penumpang sebuah kereta maut selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 12, Jalan Bentong-Raub di sini pada malam Sabtu.
Dalam kemalangan kira-kira jam 11 malam itu, mangsa seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu kereta berusia 29 tahun bersama tiga penumpang lain pula dilaporkan cedera.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dinaiki lima mangsa itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Raub menggunakan Jalan Lebu di sini.
"Ketika tiba di simpang masuk ke laluan utama, kereta tersebut membelok ke kanan menghala ke Raub sebelum dilanggar treler yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit dipercayai berpusing mengakibatkan pemandu dan penumpang cedera dan seorang mangsa meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Zaiham berkata, semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih berhati-hati dan berhemah dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini bagi mengelak berlaku kemalangan,"katanya.