PERAK kembali mempamerkan karakter luar biasa saingan Kumpulan D Piala Emas Raja-Raja 2022 apabila membelasah Kedah, 3-0 dalam perlawanan di Padang Kelab Rekreasi Cina, Ipoh.
Selepas terikat tanpa jaringan berdepan Perlis di Ipoh sebelum ini, tuan rumah tampil lebih garang berdepan pelawat dalam perlawanan berprofil tinggi tersebut.
Kedah pula yang sebelum itu diikat tanpa jaringan berdepan Pulau Pinang di Stadium Mini Stadium Mini Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, tampil lebih kemas.
Bagaimanapun tuan rumah berjaya memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol apabila meledak dua jaringan pada babak pertama, diikuti satu lagi pada babak kedua.
Ahmad Daniel Hakimi memulakan kempen gol dengan jaringan pertama pada minit kelapan diikuti jaringan kedua minit ke-24, sebelum Muhammad Amirul Amin memastikan tiga mata pasukannya pada minit ke-67.
Sementara itu, jaringan Muhamad Izdyhar Egan pada minit ke-19, membolehkan Perlis melakar kemenangan pertama setelah mengatasi Pulau Pinang, 1-0 dalam perlawanan kumpulan sama di Stadium Tuanku Syed Putra.
Perlawanan Derbi Lembah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur pula berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM).
Satu lagi aksi kumpulan sama, PDRM melakar kemenangan kedua apabila berpesta gol menewaskan MySPRM-ACe10, 3-0 di Stadium USIM.
Tiga gol PDRM diledakan Mohd Alif Najmi Ahmad minit ke-34, Christopher Keli (45') dan Alifa Syahir Sabarudin (80'), sekali gus meneruskan momentum positif kemenangan 1-0 ke atas juara Piala Agong, Kuala Lumpur di Padang Pulapol minggu lalu.
Saingan Kumpulan B pula menyaksikan gol tunggal Mohd Hariez Yazid (52') membolehkan Bomba Malaysia menewaskan Jakim Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Ini merupakan kemenangan kedua Bomba Malaysia yang sebelum ini menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur minggu lalu.
Aksi Kumpulan A melibatkan perlawanan dua pasukan teratas ATM menentang Negeri Sembilan ASJ Teguh berakhir dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Mini Tampin.
Gol ATM dijaringkan Mohd Fadzli Saidon (28') dan Mohd Hairul Ikmal (57'), manakala jaringan Negeri Sembilan ASJ Teguh dijaringkan Radzi Pilus(4') dan Lokman Zailan (65').
Satu lagi perlawanan melibatkan perlawanan antara Kilat TNB menentang Melaka berpihak pasukan negeri Hang Tuah dengan kemenangan 3-2 di Stadium UNITEN.
Muhammad Shamerul meledak hatrik buat Melaka 27', 39' dan 83', manakala Muhammad Firdaus (12') dan Muhammad Akimie (81') masing-masing meledak satu gol buat Kilat TNB.
PIALA EMAS Raja-Raja
AHAD (9 OKTOBER)
Kumpulan B
Pahang lwn Kelantan
Stadium Mini Akademi Mokhtar Dahari, 4.15 petang)