BERBAKI dua aksi Liga Super sebelum menutup tirai musim ini, banyak kerja rumah yang perlu Negeri Sembilan FC (NSFC) lakukan dalam misi membawa pasukan ke pentas saingan Piala AFC edisi 2023.
Biarpun skuad K Devan menang 4-3 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu, namun bocor tiga gol kepada lawan bukan sesuatu yang boleh dibanggakan skuad Jang.
Pengendali kelahiran Bahau itu mengakui dia perlu memperkasakan lagi benteng pertahanan pasukan bagi menghadapi cabaran berikutnya menentang Melaka United (MU) FC.
"Kita perlu perbaiki kelemahan di bahagian pertahanan menjelang perlawanan menentang MU selepas ini kerana pasukan perlu kekalkan kemenangan untuk mendapatkan kedudukan yang baik dalam carta liga.
"Walaupun kita berjaya menjaringkan empat gol dengan tiga gol pada separuh masa kedua, gawang Negeri Sembilan juga mudah bolos dan ini menunjukkan cabaran berdepan Kedah bukan suatu yang mudah,” katanya.
Skuad Hobin Jang Hobin melakar kemenangan ke-11 musim ini setelah menewaskan Kedah 4-3 dengan dua gol hasil ledakan Gustavo Dos Santos dan masing-masing satu gol oleh Matheus Alves serta Sean Eugene Selvaraj.
Tiga gol Kedah pula dijaringkan oleh Mahmoud Nayef Ahmad, Sanrawat Dechmitr dan Marcos Vales Gonzales.
Devan juga menyifatkan kemenangan itu begitu bermakna buat skuad Jang, biarpun diberi tentangan sengit oleh skuad Helang Merah kerana para pemain menunjukkan komitmen tinggi dan fokus sehingga ke penghujung saingan.
Baginya, bukan mudah berdepan sebuah pasukan berpengalaman seperti Kedah, yang dibimbing jurulatih berwibawa selain menampilkan barisan pemain muda berbakat serta corak persembahan agresif.
"Kemenangan ini begitu bermakna buat Negeri Sembilan untuk membolehkan peluang kita mengejar Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) bagi mendapatkan tempat ke saingan Piala AFC musim depan,” kata Devan
NSFC akan menanti kunjungan MU pada Selasa dan akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan menentang Sri Pahang FC pada 15 Oktober.