Bayi lemas, sembilan selamat nahas bot karam

Iklan
Pasukan bomba melakukan operasi membabitkan mangsa bot karam di perairan Kampung Rampaian Laut, Kota Belud.

KOTA BELUD - Seorang bayi lelaki lemas, manakala sembilan lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Kampung Rampaian Laut di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 1.05 petang itu, Muhammad Hayrul Sufyan Fian yang berusia 12 bulan ditemui penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.22 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 21 kilometer dari BBP Kota Belud.

Iklan

"Mereka difahamkan ke Pulau Mantanani untuk melawat keluarga dan ketika dalam perjalanan pulang bot telah karam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Syazwan berkata, ketika kejadian terdapat sebuah bot penumpang di lokasi kejadian yang bertindak menyelamatkan mangsa.

Iklan

"Sembilan mangsa berjaya menyelamatkan diri, bagaimanapun seorang bayi lelaki ditemui penduduk kampung dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.15 petang.