PONTIAN - BN Johor yakin akan memenangi sekurang-kurangnya 16 hingga 20 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berdasarkan senarai calon yang dikemukakan.
Pengerusinya, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, senarai calon yang dikemukakan 26 bahagian merupakan yang terbaik dan diyakini mampu memberikan kemenangan.
"Bahagian-bahagian tidak hanya kemukakan nama calon mengikut jawatan di bahagian, namun mereka turut senaraikan tokoh-tokoh bukan hanya di kalangan pemegang jawatan malah ahli UMNO secara keseluruhan di bahagian.
"Saya rasa tentu ada kejutan nanti (senarai calon Parlimen Johor) kerana sebanyak 60 peratus calon dikemukakan adalah muka baharu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Wanita UMNO Bahagian Pontian di sini pada Ahad.
Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pontian yang juga ADUN Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Pada 17 Ogos lalu, BN dilaporkan meletakkan sasaran untuk Johor memenangi 20 kerusi Parlimen daripada 26 yang dipertandingkan pada PRU15 nanti.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sasaran itu perlu dipenuhi BN Johor bagi membolehkan ia menjadi penyumbang utama kerusi bagi menubuhkan kerajaan Pusat yang kukuh.
Dalam pada itu, Hasni yang juga ADUN Benut masih mengunci mulut ketika diminta mengulas mengenai kerusi Parlimen yang bakal ditandinginya.
"Di mana saya bertanding atau siapa bertanding di Pontian ia akan melalui proses yang sama juga iaitu ia perlu dibentangkan kepada jawatankuasa khas dahulu.
"Pertamanya, perlu memahami konteks kenapa saya bertanding di Parlimen. Ia adalah kenyataan dibuat pucuk pimpinan sewaktu selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tempoh hari," katanya.