'Anti Islam lakukan provokasi, laksana budaya bebas'

Iklan
Abdul Hadi

SHAH ALAM - Pihak barat yang anti Islam dilihat terus melakukan provokasi dengan menggerakkan kalangan liberal yang masih bebas di Iran untuk melakukan demonstrasi ganas bagi mencetuskan revolusi baharu.

Revolusi itu menjadi alternatif kepada Revolusi Islam yang menjatuhkan Shah yang sangat pro-barat dan melaksanakan budaya bebas kepada rakyatnya.

Iklan
Iklan

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan itu susulan laporan media antarabangsa pada 16 September lalu berhubung kematian seorang wanita, Mehsa Amini yang tidak memakai tudung kepala (hijab) diambil tindakan oleh pihak polis di sebuah negara Islam iaitu Republik Islam Iran.

Menurut beliau, wanita itu dilaporkan mati semasa dalam tahanan ketika soal siasat yang belum nyata sebab kematiannya sehingga kini.

Iklan

"Setelah beberapa abad lamanya gagal memecahkan umat Islam dengan menggunakan isu pertembungan antara mazhab, kini isu lama itu dihidupkan semula oleh musuh dengan menjadikan Mazhab Syiah sebagai sasaran kerana telah berjaya menegakkan negara Islam yang dianggap mencabar.

"Lalu dinasihatkan kepada beberapa negara jirannya yang bermazhab Sunni dengan menganggap negara Islam itu sama bahayanya, dengan mendapat sokongan ulamak rasmi kerajaan,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Ahad.

Iklan

Pada 16 September, media antarabangsa melaporkan Mehsa, 22, meninggal dunia selepas jatuh koma susulan ditangkap oleh pihak polis di Teheran kerana melanggar peraturan pemakaian hijab.

Abdul Hadi berkata, ia sudah menjadi kebiasaan pihak barat untuk mencetuskan isu Islamofobia tanpa mengira mazhab sama ada Sunni mahupun Syiah.

Menurutnya, apabila berlaku sesuatu perkara yang boleh ditafsirkan negatif walaupun belum ia belum terbukti benar atau tidak, maka hal itu menjadi suatu peluang keemasan untuk pihak media barat melariskan berita.

"Sebaliknya, apa yang berlaku di Iran tiada bukti bergambar, malah pihak kerajaannya berjanji akan melakukan siasatan kematian Mahsa Amini yang belum diketahui punca kematiannya kerana masih terlalu awal.

"Terdapat banyak kemungkinan adakah wanita itu mati kerana diseksa, serangan penyakit dirinya, membunuh diri atau salah laku pihak polis.

"Namun begitu, pihak media terus melaporkan bahawa kerajaan Iran tetap dianggap bersalah. Iran dibelasah habis-habisan walaupun negara barat itu dikatakan sangat menjunjung tinggi undang-undang dan badan kehakiman,” katanya.