PUTRAJAYA - Santai sambil menyaksikan pelbagai persembahan menarik, itu antara pengisian program Singgah Seni yang bertempat di Dataran Putrajaya, Presint 3.
Ia sekali gus bakal menjadi tarikan terbaharu yang pastinya menjanjikan seribu keistimewaan dan kelainan tersendiri.
Singgah Seni merupakan program dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula jam 6 petang sehingga 11 malam.
Perbadanan Putrajaya dalam satu kenyataannya berkata, Singgah Seni merupakan program yang diberi nafas dan penjenamaan baharu.
"Ia diwarnai dengan persembahan kesenian dan kebudayaan yang lebih santai dan sesuai untuk seisi keluarga dalam usaha menggalakkan program-program berbentuk kesenian di Putrajaya.
"Objektif penganjuran program Singgah Seni ini adalah untuk mempelbagai dan menyemarakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan," katanya.
Katanya, program ini secara tidak langsung mempromosikan Perbadanan Putrajaya sebagai pentadbir kawasan Putrajaya melalui muzik, tarian dan aktiviti seni juga budaya.
"Adanya penganjuran Singgah Seni ini secara langsung menceriakan waktu malam di Putrajaya dengan aktiviti yang sihat dan berunsur kekeluargaan.
"Dalam masa sama, merapatkan semangat ukhuwah dalam kalangan komuniti Putrajaya melalui aktiviti kesenian dan kebudayaan," katanya.