SHAH ALAM - Polis meminta orang awam yang menyaksikan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 17.1 Lebuhraya Persekutuan di sini pada awal pagi Ahad untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.52 pagi itu, seorang pemandu sebuah kereta parah, manakala empat lagi individu cedera.
Menurutnya, kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Toyota Vios dipercayai dari arah Kuala Lumpur menghala ke Klang.
"Siasatan mendapati kereta Vios dipandu di lorong tengah lebuh raya dilanggar di sebelah tepi oleh sebuah kenderaan jenis Range Rover yang datang dari arah belakang.
"Pelanggaran mengakibatkan Toyota Vios berkenaan terbabas ke lorong kanan lalu melanggar pembahagi jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, Range Rover yang melanggar Toyota Vios telah terbabas ke sebelah kiri lebuh raya.
"Sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Bezza yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang Toyota Vios yang ketika itu terbabas di lorong kanan.
"Kejadian mengakibatkan pemandu kereta Toyota Vios parah manakala dua penumpang kereta berkenaan cedera ringan. Selain itu individu yang cedera ringan adalah pemandu Range Rover dan pemandu Perodua Bezza," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan kejadian.
"Setakat ini laporan diterima oleh pemandu Toyota Vios manakala pemandu kedua-dua kenderaan lain yang terlibat masih belum membuat laporan polis.
"Kesemua individu yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut," katanya.
Ujar Mohd Iqbal, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menghubungi pihaknya.
"Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hasrul Suhiami di talian 011-31215697.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.