Pendekatan populis hancurkan masa depan

Iklan
Gambar hiasan

SETIAP tahun peruntukan dalam belanjawan negara semakin meningkat. Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang menjadi kebimbangan.

Pertama, sejauh mana peruntukan yang disediakan tidak mengalami ketirisan berpunca daripada penyelewengan dan kecuaian serta pembaziran dalam perbelanjaan.

Iklan
Iklan

Beberapa tahun lalu penganalisis ekonomi mengatakan bahawa kebocoran yang berlaku itu sebesar 20 peratus. Angka tersebut sangat besar dan amat merugikan negara kerana banyak perkara yang dapat dibuat dengan wang tersebut.

Malangnya dalam pembentangan Bajet 2023 bernilai RM372.3 bilion, tiada sebarang peruntukan khas untuk menangani rasuah dan salah guna kuasa. Kedua, hutang negara yang semakin melebar juga merupakan suatu perkara yang perlu digusarkan.

Iklan

Laporan Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid bahawa tindakan membayar hutang matang dengan hutang baharu tidak baik untuk negara dan membimbangkan.

Separuh daripada hutang baharu digunakan untuk membayar hutang yang telah matang, sepatutnya ia dibayar dengan lebihan hasil yang ada.

Iklan

Justeru, kita berharap agar kerajaan yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 nanti akan melihat semula kesemua perkara yang dibangkitkan ini dan mengambil langkah-langkah pemulihan fiskal.

Ketiga ialah ketiadaan peruntukan khas untuk keselamatan makanan negara. Rakyat merasai kesan peningkatan harga makanan disebabkan oleh kebergantungan tinggi terhadap import. Masalah peningkatan inflasi di seluruh dunia juga telah memberi kesan besar kepada negara pada ketika ini.

Keempat ialah tentang kemudahan infrastruktur yang masih lemah. Laporan mengenai masalah katil tidak cukup di hospital dan keadaan jalan raya yang teruk adalah sebahagian daripada masalah yang tidak seharusnya berlaku.

Sepatutnya Malaysia mampu untuk menjadi sebuah negara baik dan maju. Namun disebabkan masalah-masalah rasuah, pembaziran dan kecuaian dalam perbelanjaan menyebabkan segala kemudahan untuk rakyat tidak dapat dinikmati.

Dengan ramalan bahawa tahun depan akan menjadi tahun yang mencabar, kita berharap kerajaan akan menjadi lebih bertanggungjawab demi masa depan negara.

Tiada guna mengambil pendekatan populis semata-mata mahu kekal berkuasa tetapi membawa kita semua ke lembah kehancuran dan kemusnahan.