PUTRAJAYA - Selepas pergerakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah gagal dihidu pemberita, pejabat Perdana Menteri (PMO) kembali menjadi tumpuan pada Isnin.
Seawal jam 8 pagi, petugas media tempatan berkumpul di hadapan pintu-pintu masuk PMO bagi mendapatkan perkembangan terkini situasi politik tanah air.
Setakat ini, pintu protokol yang menjadi laluan utama Perdana Menteri dibuka meskipun hari ini adalah cuti umum.
Pada Ahad, akhbar tempatan melaporkan Ismail Sabri dipercayai menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen sebelum baginda berlepas ke London.
Difahamkan satu pertemuan dengan Top 5 UMNO berlangsung malam tadi di Kuala Lumpur.
Ismail Sabri dijangka mengadakan pertemuan dengan menteri kabinet dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bagi memaklumkan bahawa beliau sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sekali gus memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat.