KUALA LUMPUR - Seorang pelajar sekolah dan penuntut kolej antara ditahan kerana berlumba haram dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), di sini pada Ahad.
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran Facebook berkata, operasi penguatkuasaan itu dijalankan bermula jam 9 malam hingga 4 pagi di beberapa laluan utama sekitar ibu negara pada Sabtu dan Ahad.
"Seorang pelajar sekolah berusia 15 tahun dan pelajar kolej antara ditahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana melakukan aksi roket, 'superman' dan bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Akleh.
Sementara itu, sebanyak 624 saman dikeluarkan manakala tujuh individu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara pada hujung minggu lalu.
"Kesemua individu ditahan berusia lingkungan 15 ke 21 tahun melakukan kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya lain.
"Mereka yang ditangkap ini menunggang dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig - zag, roket, superman serta bersaing," katanya.
JSPT Kuala Lumpur memaklumkan, sebanyak 19 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan ubah suai struktur kenderaan (ekzos).
Katanya, motosikal terbabit perlu diubah kembali kepada struktur asal dan menjalani pemeriksaan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebelum dipulangkan kepada pemilik masing-masing.