Ah long salah rumah

Iklan
Lee Peng (dua dari kiri) menunjukkan laporan polis ketika sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Pulai Sebatang.

PONTIAN – Seorang guru tuisyen terpaksa menanggung kerugian apabila kereta Perodua Kenari miliknya yang ditinggalkan di rumah di Taman Damai di sini diconteng individu tidak dikenali dipercayai ah long.

Kejadian itu menimbulkan kekeliruan kepada mangsa, Koh Lee Peng, 24, memandangkan nota peringatan tertera nama peminjam berbangsa Melayu ditinggalkan di atas kereta.

Iklan
Iklan

Lee Peng berkata, nombor MyKad peminjam turut tertera di atas nota peringatan tersebut sekaligus menjadi bukti dia mahupun keluarga terdekat tiada kaitan dengan pinjaman tersebut.

"Mereka fikir saya ada membuat pinjaman wang dengan ah long tetapi mereka tidak tahu rumah ini didiami keluarga berbangsa Cina.

Iklan

"Mereka sudah salah rumah. Tindakan mereka meninggalkan notis peringatan dan menconteng kereta sememangnya tidak wajar. Saya tidak senang hati dan sangat bimbang dengan keselamatan keluarga,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Pulai Sebatang.

Hadir sama, Pegawai Khas ADUN Pulai Sebatang, Zainuzabha Baharom.

Iklan

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 28 Februari dan berulang kembali pada 5 April lalu apabila ugutan masih diterima meminta hutang dibayar.

"Pagi Jumaat lalu, saya dapat nota tercatat perkataan ‘last warning’ yang menunjukkan mereka (ah long) ingin mengambil tindakan ke atas kami sekeluarga,” katanya

Lee Peng berkata, dia mendiami rumah tersebut bersama neneknya, Ngo Wee Ah Jee, 70, dan ibunya, See May Hwa, 43.

Katanya, dua laporan polis telah dibuat sebelum ini kerana bimbang keselamatan keluarganya dan berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera.

"Saya bimbang nak tinggalkan nenek bersendirian di rumah takut jika ah long terlibat melakukan perkara yang tidak diingini kepada nenek saya yang sudah tua itu,” katanya.