PEMANDU Red Bull, Max Verstappen percaya dia mampu mendominasi Formula Satu (F1) untuk beberapa tahun akan datang apabila mengesahkan gelaran dunia kedua berturut-turut selepas mengungguli Grand Prix Jepun, semalam.
Pelumba kelahiran Belanda itu berkata, ia bukanlah satu perkara yang mustahil sekiranya dia mempunyai jentera yang baik dan kerjasama yang padu dariada pasukannya.
Iklan
Iklan
"Jika saya mempunyai kereta yang kompetitif, saya yakin kami boleh meneruskannya. Selain itu, ia juga bergantung kepada apa yang akan dilakukan oleh pesaing anda.
"Saya sangat mempercayai pasukan sekarang dan berharap pada tahun-tahun akan datang kami boleh menikmati lebih banyak kemenangan dan sudah tentu kejuaraan dunia,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Pada aksi yang berlangsung di litar Suzuka, Verstappen memenangi perlumbaan dramatik itu yang dipendekkan berikutan cuaca hujan.
Kejuaraan dunia sah menjadi pemandu Red Bull itu selepas pesaing terdekatnya, Charles Leclerc diturunkan ke tempat ketiga kerana dikenakan penalti lima saat.
Leclerc dari Ferrari melintasi garisan penamat di tempat kedua di hadapan Sergio Perez dari Red Bull, tetapi dia dikenakan penalti selepas menghimpit Perez.