KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menampilkan beberapa muka baharu untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengumuman tersebut akan dilakukan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi gabungan itu.
"Ada yang telah mengumumkan untuk tidak bertanding lagi, maknanya akan ada muka baharu nanti... berapa ramai saya pun tidak pasti," katanya selepas menghadiri program ‘Rindok Ati’ media bersama komuniti Petra Jaya anjuran Jabatan Penerangan pada Isnin.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, jentera GPS juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja.
"Yang penting kita GPS telah bersiap siaga sebab kita baru lepas mengadakan Pilhan Raya Negeri Sarawak.
"Saya kira semua orang telah bersedia dan jentera kita juga telah diberikan arahan untuk bersedia menunggu apa sahaja kemungkinan. Tidak kiralah tahun ini atau tahun depan... kita telah bersiap siaga," kata beliau yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
PBB yang menerajui GPS ketika ini mempunyai 13 Ahli Parlimen manakala tiga lagi parti komponennya ialah Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang memiliki dua kerusi Parlimen, Parti Demokratik Progresif (PDP) juga dua kerusi dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) satu kerusi.
Pada PRU14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen, SUPP (tujuh), PRS (enam) dan PDP (empat). - Bernama