KEPALA BATAS - Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadual berlangsung malam ini (Isnin) tidak akan membincangkan mengenai pembubaran Parlimen sebaliknya lebih fokus persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya ia berlaku dalam masa terdekat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perjumpaan malam nanti antara lain akan membincangkan persiapan menghadapi banjir.
Reezal berkata, soal mengenai pembubaran Parlimen itu terletak di bawah kuasa dua individu iaitu Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.
Jelasnya, UMNO tidak pernah mendahului dalam soal tersebut.
"Jadi saya tak boleh mendahului. Malam ini (Isnin) perbincangan lebih kepada persiapan seandainya pilihan raya akan berlaku dalam masa terdekat termasuk soal membabitkan banjir," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Kepala Batas di Masjid Abdullah Fahim pada Isnin.
Sebelum ini media melaporkan UMNO akan mengadakan mesyuarat khas parti berkenaan malam Isnin dipercayai bagi memperinci persiapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan memuktamadkan bentuk kerjasama dengan Pas.
Mesyurat tersebut juga dijangka menyentuh jangkaan tarikh pembubaran Parlimen yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Panggilan mesyuarat itu disahkan melalui satu surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.