TNB, SPRM bekerjasama perkukuh integriti selari komitmen ESG

Iklan
Baharin (kanan) dan Azam (kiri) menandatangani dokumen MoU di Dewan Serbaguna Kelab Kilat TNB Bangsar pada 4 Oktober lalu bagi meningkatkan kerjasama dengan SPRM.

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengukuhkan integriti organisasi tersebut sesuai dengan komitmennya terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Satu memorandum Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 4 Oktober lalu bagi membolehkan kedua-dua organisasi itu mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.

Iklan
Iklan

Azam berkata, kerjasama terbaharu itu bakal mengukuhkan dan memperluaskan lagi hubungan terjalin antara TNB dan SPRM merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran; penambahbaikan sistem dan prosedur TNB; pelaksanaan operasi pengesanan bersama dan program kesedaran serta latihan.

"MoU ini bukan hanya dokumen untuk ditandatangani, sebaliknya disusuli dengan kerjasama berterusan dan aktiviti pengukuhan yang aktif antara SPRM dan TNB,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Kerjasama itu dimeterai sempena Hari Integriti TNB yang diadakan di Dewan Serbaguna TNB, Bangsar yang turut meliputi acara Ikrar Bebas Rasuah, Penyampaian Watikah Integrity Champions dan Lapel Pin kepada warga kerja serta Pelancaran Buku Prosedur Tatatertib Edisi Ketujuh.

Pada masa, Azam turut berjanji bahawa SPRM bersedia berbincang dengan lanjut bagi melakukan pelbagai usaha berkaitan dalam membantu TNB membanteras kegiatan kecurian elektrik oleh sindiket perlombongan bitcoin.

Iklan

Sementara itu, mengambil contoh kerjasama pernah dilakukan antar kedua organisasi tersebut, Baharin berkata, ia didapati berupaya mendedahkan kegiatan sindiket yang berlaku di dalam negara.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada warga TNB dikesan menerima sogokan dalam operasi penyamaran SPRM yang berusaha menjejak kegiatan tersebut.

"Kerjasama ini membuktikan bahawa SPRM dan TNB mempunyai jalinan hubungan mesra yang erat dan persefahaman serta iltizam yang sama, khususnya ke arah memperkasa dan memperkukuh nilai integriti sesebuah organisasi,” katanya.

Baharin menambah, sebagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan organisasi utama dalam menggerakkan kemajuan negara, TNB juga bertanggungjawab membina sahsiah diri warga kerjanya bagi membendung budaya negatif seperti kes jenayah, rasuah dan sebarang bentuk penyelewengan.

"Kami di TNB cenderung kepada pendekatan mencegah dan mendidik daripada menghukum.

"Melalui cara ini, kita akan berasa seronok bekerja seterusnya menyumbang secara positif kepada pembangunan syarikat, yang pada akhirnya nanti, hasilnya akan kita kongsi dan nikmati bersama semua anggota kerja, rakyat dan negara,” kata beliau.

Pelbagai inisiatif dilaksanakan TNB untuk mengukuhkan integritin organisasi itu antaranya, memperolehi pensijilan ISO 37001"Anti Bribery Management System” daripada SIRIM QAS International dan pembangunan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP)

TNB turut membangunkan Integrity Health Index (IHI) bagi mengukur tahap integriti secara objektif dan melatih pegawai di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), SPRM untuk menjadi pegawai integriti bertauliah (CeIO).

.