TONGGAK pertahanan bawah 16 tahun (B-16) negara, Muhammad Anjasmirza Saharudin mengakui perlawanan menentang Indonesia pada aksi terakhir kumpulan B Kelayakan Piala Asia Bawah 17 (B-17) bukanlah semudah seperti yang disangkakan.
Menurut Anjasmirza, Indonesia merupakan pasukan cukup sukar untuk dijinakkan apabila kerap melakukan serangan berbahaya ke kubu negara.
"Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu dan bapa selain rakan yang banyak menyokong sepanjang saingan kelayakan ini.
"Jika diikutkan mendebarkan juga untuk datang ke stadium menentang Indonesia. Namun, bola itu bulat apa pun boleh terjadi dan alhamdulillah kami menang 5-1,” katanya.
Sebelum ini, skuad B-16 mengesahkan slot secara merit ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 selepas membelasah Indonesia 5-1 di Stadium Pakansari, Cibinong, Indonesia pada Ahad.
Gol Harimau Muda dijaringkan Zainurhakimi Zain pada minit ke-17', Arami Wafiy (20'), (38'), Anjasmirza (23') dan Afiq Danish Zulkifli (26'), manakala gol Indonesia dihasilkan Arkhan Kaka Putra pada minit ke-93.
Keputusan itu juga menyaksikan skuad B-16 negara sudah lima kali beraksi di pentas Piala Asia B-17 dengan kali terakhir menempah tiket pada 2018.
Rekod terbaik skuad muda negara adalah dibawah kendalian S Balachandran apabila berjaya melangkah ke peringkat suku akhir pada 2014 yang berlangsung di Thailand sebelum tewas kepada Australia 1-2.