GEORGETOWN - Kerajaan negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat petang ini bagi membincangkan sama ada untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau tidak.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, masih ada masa dan ruang untuk meneliti beberapa faktor termasuk kemungkinan menghadapi musim tengkujuh.
Iklan
Iklan
"Kita akan bincang sebab beberapa negeri sebelum ini telah buat keputusan untuk tidak bubar, jadi kita perlu lihat semula perkembangan terkini sebab menjelang penamaan calon masih banyak ruang untuk kaji strategi dan tindakan terbaik.
"Sama ada bubar atau tidak ia terbuka untuk perbincangan,” katanya selepas menghadiri Lawatan Projek Menaiktaraf People’s Court dan Lorong Belakang di Lebuh Cintra di sini pada Isnin.
Kon Yeow berkata, mesyuarat itu merupakan respons pantas kerajaan negeri dan DAP Pulau Pinang susulan perutusan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembubaran Parlimen.
"Sekiranya Parlimen jadi bubar mungkin hari ini kita juga perlu bincang calon-calon peringkat Parlimen, itu menjadi keutamaan berbanding dengan calon negeri (DUN).
"Apa-apa keputusan kita akan ambil tindakan sewajarnya. Satu keputusan perlu disusuli satu tindakan," katanya.