EARL Isaac Mitzler Fredolin dari Sabah, kini meletakkan sasaran yang lebih tinggi selepas berjaya dinobatkan Olahragawan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022.
Atlet berusia 14 tahun yang menerima pengiktirafan tersebut atas kejayaannya memecahkan rekod lontar peluru lelaki bawah 15 tahun MSSM, berazam untuk memecah rekod Sukan Malaysia (Sukma) selepas ini.
Iklan
Iklan
Pada Kejohanan MSSM 2022 akhir bulan lalu, lontaran emas Earl Isaac dengan jarak 18.26 meter (m) memadamkan rekod lama kejohanan 16.90m yang dibuat Jonah Chang Anak Rigan dari Sarawak pada 2018.
"Sebelum ini pada awal September lalu, saya juga dinobatkan Olahragawan Kejohanan Majlis Sekolah Sukan Sabah Ke-54 setelah berjaya memecah rekod kejohanan dengan lontaran 17.22m,” katanya.
Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Sukan Malaysia Sabah itu berkata, dorongan rakan, ibu bapa dan jurulatih adalah kunci kejayaannya.
"Bapa saya Fredolin Toluod dan ibu Donna Cynthia Suliah menjadi tunjang di sebalik kejayaan saya.
"Mereka jadi pembakar semangat untuk terus berlatih dengan tekun sehingga mencapai kejayaan,” katanya yang menambah akan cuba berjinak-jinak dengan sukan lempar cakera tahun depan seperti dicadangkan jurulatihnya. - Bernama