SHAH ALAM - Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Omar Mokhtar A Manap menepis dakwaan mengatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) menolak pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada tahun ini kerana masih belum bersedia.
Malah beliau menegaskan bahawa tidak pernah berlaku dalam sejarah negara di mana parti pembangkang menolak untuk mengadakan PRU kerana ia merupakan platform yang paling tepat untuk menukar kerajaan.
"Kita dah lama bersedia, kita bersedia dari Langkah Sheraton lagi dengan pengkhianatan mandat rakyat itu yang mana UMNO turut beri sokongan kononnya untuk kestabilan.
"Ya betul, kita terkesan serba sedikit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), tapi itu bukanlah alasan untuk kita terus mengalah. Kita pernah kalah teruk pada tahun 2004, cuma dapat satu kerusi di Permatang Pauh (Parlimen).
Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk Perang PRU15 Bermula yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Isnin.
Hadir sama dalam program diacarakan oleh Hazwan Mokhtar ialah Exco Pemuda UMNO, Farhan Khairuddin.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada Isnin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.
Omar berkata, pendirian PH yang tidak cenderung untuk mengadakan PRU15 adalah dengan mengambil kira situasi semasa dihadapi rakyat yang ketika ini masih berdepan dengan tekanan ekonomi dan ditambah risiko bencana banjir yang dijangka berlaku pada akhir tahun ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, dengan pelaksanaan PRU15 itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diharapkan dapat memastikan kaedah dan mekanisme keselamatan terbaik untuk rakyat yang bakal keluar mengundi.
Katanya, SPR juga perlu memastikan supaya jumlah pengundi mencapai sasaran yang ditetapkan.
"Selain itu yang paling penting juga adalah agar PRU15 ini memberikan keutamaan terhadap isu yang membelenggu rakyat seperti ekonomi dan kos sara hidup berbanding,” ujarnya.