SETELAH desas-desus Parlimen akan dibubarkan minggu lalu tidak menjadi kenyataan, maka ramailah mula meneka ia akan diumumkan minggu ini pula.
Akhirnya teka-teki terjawab pada Isnin. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan, maka semakin jelaslah bayang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Namun, realitinya ia tidak mudah kerana dilihat lebih banyak kesulitan akan timbul, malah kos mengadakan pilihan raya juga akan meningkat, lebih tinggi daripada sebelumnya.
Mana tidaknya, pada kebiasaannya bulan November dan Disember adalah musim banjir. Sudah tentu ramai yang masih ingat banjir terburuk melanda Selangor pada penghujung tahun lalu.
Jika banjir berlaku, sekolah-sekolah dan dewan orang ramai sudah pasti akan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa banjir.
Jadi, di manakah lokasi yang akan dipilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pengundi dapat membuang undi jika fasiliti berkenaan digunakan sebagai PPS?
Adakah ada tempat lain atau ‘Pelan B’ oleh SPR untuk dijadikan tempat membuang undi, selain lokasi-lokasi berkenaan?
Berkemungkinan besar, peratus pengundi yang membuang undi juga akan berkurangan jika PRU15 diadakan pada musim banjir.
Ketika fokus lebih terarah untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga, di samping memikirkan kerugian harta benda akibat banjir, sedikit sebanyak mood untuk membuang undi pasti terganggu.
Tidak ada gabungan yang mempunyai majoriti mutlak. Jika itu berlaku, kita kembali kepada keadaan seperti sekarang – perlunya gabungan pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.
Selain itu, terdapat enam negeri telah mengumumkan tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Tiga negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) telah mengesahkan tidak akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan sekiranya PRU15 diadakan pada musim banjir.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan membuat keputusan tersebut untuk tidak menambah derita rakyat yang terpaksa berdepan masalah banjir.
"Andai kata Parlimen dibubarkan, keputusan ketiga-tiga negeri ini adalah menumpukan perhatian bagi menangani masalah banjir dan meringankan beban mangsa yang terpaksa menghadapi bencana banjir.
"Pilihan raya tidak diadakan di negeri tersebut sehingga selesai isu banjir yang dijangka pada Februari atau Mac.
"Tiga negeri ini tidak akan bersama kerajaan Persekutuan seandainya pilihan raya diadakan semasa banjir,” kata Anwar.
Selain negeri diterajui PH, tiga negeri yang diterajui oleh Pas iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu juga tidak akan membubarkan DUN masing-masing.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.
"Pas yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran DUN dalam tempoh terdekat.
"Ia bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca-Covid-19,” jelas Abdul Hadi.
Pembubaran Parlimen dan DUN yang dibuat secara tidak serentak, antara faktor yang akan meningkatkan kos pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kosnya akan meningkat hampir RM2 bilion dan perbelanjaan SPR juga akan meningkat hampir dua kali ganda sekiranya pilihan raya diadakan berasingan.
Selain itu, jika pembubaran Parlimen dan DUN dibuat secara berasingan, pengundi juga tidak akan pulang untuk mengundi kali kedua kerana ia turut melibatkan kos perbelanjaan pengangkutan mereka.
Maka, sekali lagi kemungkinan tahap peratusan pengundian untuk DUN akan rendah kerana tidak ramai pengundi mahu berbuat demikian.
Kesimpulannya, PRU15 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini tidak mudah kepada semua pihak sama ada bagi pihak kerajaan, mahupun rakyat jelata. Masing-masing perlu sentiasa bersiap-siaga kerana tumpuan utama adalah untuk berdepan musim banjir.
*Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid ialah wartawan Sinar Harian