Mexico saman lima syarikat jual senjata api AS

Iklan
Senjata api banyak digunakan dalam kegiatan jenayah di Mexico. - Foto AFP

BANDAR RAYA MEXICO - Mexico pada Isnin memfailkan saman yang kedua terhadap lima syarikat pembuat senjata api Amerika Syarikat (AS).

Tindakan itu dilakukan selepas mahkamah Massachusetts di AS pada bulan lalu menolak kes saman yang pertama berjumlah AS$10 bilion (RM46.72 bilion) terhadap pembuat senjata api kerana menyebabkan penyeludupannya di sempadan Mexico dengan negara tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, saman baharu itu menuntut sekatan terhadap lima syarikat yang menjual senjata api dan pernah digunakan dalam jenayah berat di Mexico, kata Menteri Luar negara tersebut, Marcelo Ebrard.

"Ia jelas bahawa terdapat penyeludupan senjata dan diketahui bahawa senjata ini ditujukan kepada negara kita," kata Ebrard menerusi video yang disiarkan di media sosial.

Iklan

Jika AS mahu Mexico bekerjasama dalam perang melawan dadah, pihaknya juga mahu negara berkenaan membantu dengan mengurangkan aliran kemasukan senjata terbabit yang banyak mendatangkan mudarat, tambahnya.

Kes itu difailkan di Mahkamah Daerah Persekutuan di Tucson menyasarkan syarikat Diamondback Shooting Sports, SNG Tactical, Loan Prairie, Ammo A-Z dan Sprague's Sports, kata Kementerian Luar Mexico.

Iklan

Mexico memfailkan saman pertama pada Ogos 2021 terhadap sembilan pengeluar senjata api AS dan dua pengedar atas perkara yang disifatkannya sebagai perdagangan cuai dan haram yang menggalakkan pengedaran dadah dan keganasan di wilayahnya.

Bagaimanapun pada bulan lalu, hakim di Boston memutuskan bahawa tuntutan negara itu gagal mengatasi perlindungan meluas yang ditawarkan kepada pembuat senjata api menerusi Akta Perlindungan Perdagangan Sah dalam Senjata yang diluluskan oleh Kongres AS pada tahun 2005.

Lebih daripada setengah juta senjata diperdagangkan ke Mexico dari AS pada setiap tahun, menurut kerajaan negara Amerika Latin itu.

Mexico telah menyaksikan lebih 340,000 pembunuhan sejak tahun 2006 apabila ia mengerahkan tentera bagi memerangi pengedaran dadah. - AFP