SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengekalkan pendirian tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor serentak dengan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini keputusan diputuskan Pakatan Harapan (PH) itu kekal hingga hujung tahun ini.
Menurutnya, pertemuan beliau dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kira-kira dua jam di Istana Bukit Kayangan itu juga memintanya berbincang dengan ramai pihak bagi memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor diadakan dengan lebih efisien.
"Perbincangan saya bersama Sultan Sharafuddin adalah pertemuan lazim melibatkan pelbagai perkara yang perlu diselesaikan sebelum pembubaran DUN," katanya selepas ditemui media di luar pekarangan Istana Bukit Kayangan selepas mengadakan pertemuan dengan Sultan Sharafuddin pada Selasa.
Amirudin yang juga Pengerusi PKR Selangor berkata, beberapa perkara dibentangkan kepada Sultan Sharafuddin, antaranya mengenai pembangunan, banjir, bajet Selangor 2023 dan Rancangan Selangor Pertama.
Menurut Amirudin, beliau kini memberi tumpuan kepada pembentangan Bajet Selangor 2023, namun ia bergantung kepada tarikh pilihan raya umum yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita mungkin akan menunda pembentangan bajet dan akan melihat dari sudut undang undang dan sebagainya kerana tarikh (pembentangan Bajet Selangor 2023) telah ditetapkan pada 28 Oktober dan kita kena tunggu keputusan SPR," jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya, kebanyakan calon PH di negeri ini melibatkan penyandang kerusi kecuali Ampang dan Gombak.
"Rata-rata penyandang ini lebih berpengalaman dan mempunyai kelebihan di kawasan masing-masing.
"Namun, kita juga akan menampilkan calon muda atau muka baharu untuk menambah variasi atau kekuatan dalam PH dan PKR," katanya.
Pada 5 Oktober lalu, tiga negeri di bawah PH tidak akan dibubarkan jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, keputusan melibatkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang itu bagi membolehkan pemimpin fokus kepada kebajikan rakyat yang kini menghadapi banjir.