SITI AMINAH BORHAN, 28, masih teringat lagi momen pahit ketika beliau berusia 18 tahun.
Pada waktu makan tengah hari, beliau tidak akan berganjak dari tempat duduknya. Pelawaan rakannya untuk makan, selalunya akan ditolak.
Sebenarnya, bukan Siti Aminah tidak mahu. Dirinya sangat segan kerana kebiasaannya, jumlah hidangan makanan yang diambilnya sangat banyak.
Seleranya pada usia remaja memang tinggi, kata bekas jurujual.
Anda mahu tahu berapa berat badannya?"Berat saya pada masa itu ialah 175 kilogram (kg)," imbasnya yang sering memencilkan diri daripada rakan-rakan sekerjanya.
Ujar Siti Aminah, terdapat satu peristiwa yang membuatkan beliau sangat tertekan.
"Kejadian itu berlaku di ruang pantri. Saya terdengar rakan saya sendiri mengejek saya dengan berkata, 'Eh, gemuk'. Sukar saya nak gambar betapa pedihnya hati saya,"katanya.
Semangat
Ekoran daripada kejadian tersebut, Siti Aminah berkata, beliau bulatkan tekad.
Semangat itu katanya, menebal ketika usianya 23 tahun.
"Kekuatan saya datang secara tiba-tiba. Percaya atau tidak, dalam tempoh tujuh bulan, daripada 117kg, berat badan saya menjadi 58kg," katanya dengan nada riang.
Apakah rahsia dan rejim kesihatan yang Siti Aminah lakukan?
Dengan wajah berseri-seri wanita ini berkata, beliau menolak secara total penggunaan ubat kurus.
"Bagi saya, jika kita ingin kurus biar dengan cara yang sihat. Kesihatan lebih penting berbanding dengan paras rupa,” ujarnya.
Siti Aminah memberitahu, beliau hanya minum minuman detoks selain mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.
Minuman berdetoks membabitkan campuran beberapa makanan semula jadi seperti daun pudina, lemon, limau nipis, serai, bunga cengkih dan lain-lain.
Berikut ialah jadual pemakanan Siti Aminah:
Pagi
Beliau akan minum air detoks dan makan roti sandwich telur. Jika perut masih lapar, Siti Aminah akan makan segenggam kekacang.
Tengah hari
Siti Aminah hanya akan menjamah sekeping ikan salmon bakar atau ayam bakar bersama salad. Kadangkala, beliau menikmati ikan bakar bersama ulam.
Makan malam
Beliau mendisiplinkan diri dengan menikmati semangkuk oat. Bagi menambah perisa, beliau akan mencampurkan makanan itu dengan buah-buahan seperti pisang.
Ya, itu sahaja amalan Siti Aminah. Nampak mudah tetapi ujar wanita itu, ia sukar dilaksanakan jika tiada kesungguhan.
"Bagi saya, apa sahaja yang kita buat, kita perlu lakukan dengan sepenuh hati. Insya-ALLAH niat kita akan diberkati," katanya yang kini selesa dengan berat badan idealnya.
Beliau sendiri tidak menyangka, selepas berjaya menurunkan berat badan, rezekinya semakin murah.
Jika dulu, beliau hanyalah seorang jurujual. Kini, wanita itu adalah pengasas kepada satu produk minuman detoks.
Beliau mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk sendiri bagi membantu lebih ramai individu yang ingin mendapatkan berat badan yang diimpikan dengan cara yang sihat.
"Seperkara, saya juga kini adalah jurulatih kecergasan. Saya memang ingin membantu mereka yang berbadan besar, saya sangat memahami perasaan mereka dalam kategori ini," katanya.
Kepada pembaca WOW Femina yang mahu butiran lanjut mengenai rejim sihat dan kurus Siti Aminah, boleh layari Instagram Siti Aminah atau Facebooknya, Siti Aminah Borhan.
Tip amalan sihat Siti Aminah
1. Kawal pengambilan kalori dalam makanan.
2. Kurangkan pengambilan makanan berlemak dan berminyak.
3. Pada setiap pagi, beliau akan pastikan dirinya bersenam sekurang-kurangnya 45 minit.
4. Kurang mengambil makanan bergula.
5. Cukup tidur
6. Minum air kosong sekurang-kurangnya tiga liter sehari.
7. Pastikan makan malam diambil sebelum pukul 8 malam.