Senarai calon PKR Pulau Pinang di peringkat akhir

Iklan
Muhammad Bakhtiar

GEORGETOWN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang kini di peringkat akhir dalam menentukan calon yang akan ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, PKR akan bertanding di empat kerusi Parlimen iaitu Balik Pulau, Bayan Baru, Permatang Pauh serta Nibong Tebal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli sudah sediakan berkaitan senarai calon untuk kesemua kerusi yang akan bertanding di negeri ini dan keputusan akhir akan dibuat oleh presiden parti nanti.

"Saya rasa Pengarah Pilihan Raya sudah ada senarai dan hanya tunggu keputusan muktamad yang akan dibuat presiden," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat pimpinan Pakatan Harapan di sini, pada Selasa.

Iklan

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar berkata, perkara itu diserahkan kepada parti untuk menentukannya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Muhammad Bakhtiar berkata, PKR kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN selari dengan ketetapan Majlis Presiden PKR sebelum ini.

Iklan

Pada Rabu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya iaitu membubarkan DUN masing-masing pada tarikh sama bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.