SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa ada parti politik yang tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi tinggi kerana ia akan memberi lebih peluang kepada parti berkenaan untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Azmin, itu adalah sebab sebenar mengapa PRU15 diadakan semasa musim hujan lebat dan kemungkinan banjir besar.
Walau bagaimanapun beliau menegaskan, Perikatan Nasional (PN) tidak gentar dengan kedegilan dan keangkuhan UMNO.
"PN akan menyertai pilihan raya dengan tekad untuk meneruskan agenda prihatin rakyat serta mengangkat martabat umat dan negara.
"PN siap siaga untuk menyertai PRU15 dengan semangat yang tinggi bagi menyelamatkan negara dan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam pada itu, Azmin berkata, perkembangan politik semasa menggambarkan bahawa UMNO gagal merasai denyutan nadi rakyat dan gagal untuk bersama rakyat dalam situasi pemulihan ekonomi serta keadaan cuaca yang amat mencabar.
Menurutnya, pendirian PN tuntas dan bertanggungjawab supaya tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha-usaha mencerdaskan dan memulihkan ekonomi negara.
"Antaranya seperti menyediakan bantuan kewangan buat para peniaga kecil bagi meneruskan aktiviti perniagaan, melanjutkan moratorium untuk tempoh yang lebih munasabah, mengawal inflasi serta terus berusaha mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
"Kerajaan PN telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion yang menyentuh dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat termasuk peniaga kecil, orang bujang, majikan dan pekerja serta industri.
"Inilah PN yang fokus untuk memulihkan ekonomi rakyat dan negara,” ujarnya.