'Bila serah mandat beri 1,001 alasan pula'

Iklan
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak sikap hipokrit Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan mempersoal isu pembubaran Parlimen.

Beliau berkata, sedangkan selama ini Ahli Parlimen Port Dickson dan pemimpin parti gabungan itu sering kali melabel kerajaan yang ada ketika ini ‘pintu belakang’

Iklan
Iklan

"Bukankah Anwar dan PH juga selalu ratib kerajaan pintu belakang dan bukan mandat rakyat? Bila diserahkan kembali mandat kepada rakyat, kenapa pula datang dengan 1001 alasan untuk tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sementara itu, dalam hantaran sama, Asyraf Wajdi menyindir Anwar yang didakwanya ‘pelik’ sekiranya tidak tahu kuasa membubar Parlimen adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Iklan

Kenyataan Asyraf Wajdi itu merujuk kepada kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang bertarikh 2 Oktober lalu ‘UMNO tiada majoriti, tidak berhak tentukan tarikh bubar Parlimen.

"Betullah UMNO bukan majoriti dalam kerajaan. Itu sebab kerajaan tidak stabil dan ugut mengugut berterusan berlaku. Kemuncaknya, apabila 12 Menteri Perikatan Nasional PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mendahului dan menyanggah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

"Itu dengan sendirinya memberikan isyarat jelas kepada Seri Paduka Baginda bahawa kerajaan tidak lagi boleh berfungsi dengan baik untuk rakyat kerana tidak pernah berlaku perutusan warkah sebegitu rupa,” katanya.

Justeru katanya, Yang di-Pertuan Agong sebagaimana kenyataan media pihak Istana pada Isnin, menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan untuk membubarkan Parlimen bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih stabil.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa serta-merta untuk memberi laluan kepada PRU15.

Pengumuman khas itu disiar secara langsung menerusi beberapa stesen televisyen tempatan pada jam 3 petang selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.